Sila klik

Sunday, 11 November 2012

Muharram, bulan barokah dan penuh rahmat.

Salam.
Dalam kita meniti hari-hari terakhir tahun ini, saya terpanggil untuk membicarakan sedikit tentang Muharram, bulan barokah dan penuh rahmat. Muharram , bulan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam sejarah kehidupan umat Islam. Bulan yang menjadi pembuka tahun dalam takwim Islam. Satu bulan yang penuh barokah dan rahmat, kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharram juga termasuk salah satu daripada empat bulan yang dimuliakan Allah dalam Al-Quran. (Al Taubah: 36)


Bulan Muharram merupakan bulan yang banyak menyimpan sejarah kehidupan umat. Sepanjang bulan ini, Allah SWT banyak menurunkan peristiwa yang patut diingat sebagai rasa syukur atas kenikmatan yang diberikan. Peristiwa-peristiwa yang terjadi pada bulan tersebut dapat memberikan banyak inspirasi bagi kelangsungan hidup umat manusia di muka bumi ini.

Kadang-kadang timbul tanda tanda di dalam benak kita, mengapa penetapan awal tahun dalam Islam berdasarkan hijrah Nabi Muhammad SAW? Adakah kerana dalam hijarh tersebut terdapat sesuatu yang sangat penting untuk diingat? Bukankah selain hijrah masih ada beberapa peristiwa yang tidak kurang pentingnya dengan peristiwa hijrah tadi? Seperti kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW, peristiwa awal penerimaan wahyu, peristiwa Isra' dan Mi'raj yang membawa perintah solat lima waktu. Pun tidak kurang pentingnya peristiwa penaklukan Kota Mekah yang menjadi pusat perpaduan umat Islam. 

Adapun penetapan bulan Muharram sebagai awal tahun baru dalam takwim Islam adalah hasil musyawarah para sahabat pada zaman Khalifah Umar bin Khatthab RA. Pada ketika itu, ada yang mengusulkan bulan Rabiul Awal sebagai awal tahun dan ada pula yang mencadang bulan Ramadhan. Namun kesepakatan yang telah diambil adalah bulan Muharram, dengan pertimbangan bahawa pada bulan itu telah nekad keputusan Nabi Muhammad SAW untuk hijrah ke Madinah pasca peristiwa Bai'atul Aqabah. Pada waktu itu, 75 penduduk Madinah telah berikrar untuk membela dan melindungi Nabi Muhammad SAW, jika baginda datang ke Madinah. Dengan termetrainya bai'at tersebut baginda Nabi Muhammad SAW pun melakukan persiapan untuk hijrah.

Dalam sejarahnya, bulan Muharram mencatatkan beberapa peristiwa besar yang sangat berpengaruh dalam sejarah kewujudan agama Tauhid (Islam), di antaranya:
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah dan dipertemukan dengan isterinya, Siti Hawa di Padang Arafah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan oleh Allah SWT dari perahunya setelah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  6. Penglihatan Nabi Ya'kub yang kabur dipulihkan oleh Allah SWT.
  7. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah SWT dari penyakit kulit yang dideritanya.
  8. Nabi Yunus dikeluarkan dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari dan 40 malam.
  9. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa AS.
  10. Nabi Musa AS menyeberangi Laut Merah menyelamatkan diri dari Firaun.
  11. Nabi Sulaiman dikurnikan Allah SWT kerajaan yang besar.
  12. Nabi Muhammad SAW pulih dari racun orang-orang Yahudi
  13. Terbunuhnya cucu Nabi Nuhammad SAW, Hussain Ibn Aly RA di bukit Karbala.
  14. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  15. Hari pertama Allah menurunkan rahmat
  16. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  17. Allah menjadikan 'Arasy.
  18. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  19. Allah menjadikan alam.
  20. Allah menjadikan malaikat Jibril.
  21. Nabi Isa diangkat ke langit.


Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk mengambil ikhtibar nilai-nilai kerohaniah dari kejadian-kejadian tersebut dan menjadikan hari peningkatan ibadah dan amal, yakni berpuasa pada bulan Muharram. Sebagaimana dijelaskan dalam sabdanya, "Puasa pada hari Asyura (10 Muharram) menghapuskan dosa-dosa kecil pada setahun yang lampau" (HR Muslim). Dengan keberkatan bulan Muharram yang akan datang, maka sama-samalah kita memperbaharui tekad untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT. Semoga kita diberi kesempatan untuk terus bernafas dan beribadat. Amin.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1434.


No comments:

Post a Comment