Sila klik

Wednesday 2 July 2014

Khasiat Buah Kurma

Salam.
Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Di kalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah di kalangan kita juga, kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari.

Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai banyak khasiat dan telah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah S.A.W. juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan ianya amat sinonim dengan sejarah baginda.


"Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan"
- Al-Mukminah ayat 19

Rasulullah S.A.W. telah menyebut tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayat oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesiapa yang memakan 7 biji tamar 'Ajwah' dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".


Khasiat kurma 'Ajwah' sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. sesuai dengan kemuliaannya sebagai buah kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah S.A.W.

Terdapat juga di dalam al-Quran ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini seperti yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa A.S. sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 yang kira-kira bermaksud:

"Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masa"


Hasil kajian telah membuktikan bahawa buah kurma adalah makanan yang paling cepat diproses sebagai tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar menjadi tenaga dan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak. Berdasarkan hakikat ini, Rasulullah S.A.W. menganjurkan kita berbuka dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas yang bermaksud:

"Rasulullah S.A.W. berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang . Sekiranya tiada terdapat kurmka, maka baginda Rasulullah S.A.W. akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur maka baginda meminum beberapa teguk air"


Di samping itu juga, pakar perubatan dan pemakanan telah membuktikan buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil atau lepas bersalin. Hal ini berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada bonda Nabi Isa.


Jadi kesimpulannya, bagi yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian khususnya di waktu pagi. Lebih-lebih lagi semasa umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa. Mulalah berbuka dengan buah kurma dan mulalah bersahur dengan buah kurma.

Mudahan-mudahan dengan amalan memakan buah kurma yang berterusan, kita terhindar dari berbagai kemungkinan yang menjejaskan tahap kesihatan kita. Amin