Sila klik

Thursday 19 March 2015

PROSES MELAKSANAKAN KAJIAN TINDAKAN

Salam.
Walaupun, Lewin (1946; 1948) merupakan orang pertama yang mewujudkan satu kodifikasi (codification) tentang prosedur menjalankan Kajian Tindakan. Beliau menyarankan prosedur itu dijalankan dalam 4 peringkat utama, iaitu:
  • Membina rancangan tindakan
  • Melaksana tindakan
  • Memerhati kesan pelaksanaan tindakan
  • Mereflek

Menurut Lewin (1946; 1948), Kajian Tindakan bermula dengan pewujudan satu idea umum dan kemudian data dipungut untuk menjelaskan atau merungkai sesuatu situasi. Dengan ini, satu pelan tindakan dapat dihasilkan untuk mencapai objektif yang dikenal pasti bersama dengan keputusan tentang langkah-langkah pertama yang perlu dijalankan. Peringkat seterusnya melibatkan pungutan fakta-fakta untuk memantau dan menilai intervensi itu, iaitu bertindak sebagai penilaian formatif. 


1. Membina Rancangan Tindakan
Setelah mendapat idea awal untuk memulakan langkah Kajian Tindakan, penyelidik (guru) perlu membina rancangan untuk bertindak ke arah penambahbaikan. Sebagai permulaan, penyelidik perlu menilai situasi sedia ada bagi mendapatkan maklumat yang akan membantunya merancang tindakan yang bakal diambil. Contohnya, apabila hampir separuh daripada sekumpulan gagal dalam ujian topikal yang ditadbir, maklumat terperinci diperlukan tentang soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kumpulan pelajar berkenaan. Maklumat ini dapat diketahui dengan merujuk kepada isi kandungan yang gagal difahami oleh pelajar sehinggakan tidak dapat menjawab soalan yang berkaitan dengan topik berkenaan dalam ujiian topikal. Kemudian berdasarkan maklumat yang terkumpul, penyelidik boleh membentuk soalan penyelidikan:
  • Apakah aspek-aspek yang belum difahami oleh pelajar tentang topik yang diajar?
  • Apakah kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dalam memahami aspek-aspek tertentu?
  • Bolehkah aspek ini diatasi dengan mengajar semula topik tersebut dengan kaedah pembelajaran masteri?

Setelah soalan-soalan penyelidikan dibentuk, penyelidik perlu membina suatu kerangka penyelidikan. Bagi kelas yang terlibat, beberapa ujian diagnostik perlu dibina bagi mengesan kelemahan pelajar, serta beberapa contoh yang lebih mudah digunakan dalam pengajaran semula. Kemudian, satu ujian setara dengan ujian topikal hendaklah dirangka bagi memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada pelajar dapat menjawab kesemua soalan yang dikemukakan.

2. Melaksana Tindakan
Setelah membina rancangan tindakan, tiba masanya bagi pelaksanaan. Penyelidik (guru) perlu menyemak kembali kertas jawapan pelajar bagi mengenal pasti soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kebanyakan mereka, diikuti oleh ujian diagnostik bagi mengesan kesukaran serta kekeliruan yang dihadapi oleh pelajar tentang topik yang diajar. Setelah itu, penyelidik akan mengajar semula topik berkenaan dengan memberi contoh-contoh yang lebih mudah difahami oleh pelajar serta disertai dengan latihan dan bimbingan bagi setiap pelajar secara individu.


3. Memerhati Kesan Pelaksanaan Tindakan
Semasa tindakan sedang diambil, penyelidik akan mula mengesan perubahan  dalam kalangan pelajar terbabit, jika ada. Tindak balas yang diberikan oleh pelajar semasa pengajaran semula yang memberi fokus terhadap aspek-aspek yang sukar difahami akan memberi maklum balas kepada penyelidik. Akhir sekali, keputusan ujian setara tentang topik yang diajar akan memberi maklum balas sama ada tindakan yang dilaksanakan berjaya mengurangkan bilangan pelajar yang gagal kepada hanya 20% daripada keseluruhan pelajar.

4. Mereflek
Kesan yang berlaku dalam sesuatu penyelidikan walaupun positif masih boleh dipertingkatkan lagi. Hal ini dapat dilakukan melalui refleksi yang dapat membantu penyelidik mengenal pasti kelemahan dalam ujian diagnostik yang tidak dapat mengesan kelemahan tertentu dalam kalangan pelajar. Di samping itu, pelajar mungkin gagal menjawab aspek-aspek lain dalam ujian setara, berikutan kefahaman pelajar yang tidak kekal untuk tempoh masa panjang. Secara amnya, penyelidik perlu mencari idea untuk mengatasi masalah retention kefahaman pula, dan ini akan menjurus kepada satu lagi pusingan penyelidikan baru yang perlu dirancang untuk tindakan seterusnya.

No comments:

Post a Comment