Sila klik

Wednesday 7 January 2015

MENYELIDIK, MERANCANG DAN BERTINDAK MELALUI KAJIAN TINDAKAN

Salam.
Kajian Tindakan bertitik tolak daripada proses refleksi (imbas kembali) yang dilakukan oleh guru terhadap tugas seharian mereka. Sebagai contoh, guru mengimbas kembali sesi  pengajaran dan pembelajaran (pdp) yang telah dijalankan di dalam kelas terhadap murid-muridnya. Kekuatan dan  kelemahan pdp diteliti sama ada murid dapat memahami apa yang ingin diajar serta masalah yang dihadapi oleh murid dan guru dalam melaksanakan pdp. Proses refleksi ini perlu dilakukan secara kritis agar guru dapat melihat pelbagai isu dan masalah yang wujud dalam melaksanakan tugas seharian.



Proses refleksi juga boleh dilakukan sama ada secara individu atau pun berkumpulan, misalnya bersama rakan sejawat yang lain. Jika ia dibuat dalam kumpulan, teknik sumbangsaran boleh digunapakai bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi dan punca masalah berkenaan.



Setelah melakukan proses refleksi, seterusnya guru harus merancang tindakan yang ingin diambil bagi mengatasi masalah yang dikenal pasti.  Guru dinasihatkan jangan terus merancang dan mengambil tindakan penambahbaikan berdasarkan refleksi secara individu atau berkumpulan semata-mata. Ia disebabkan perancangan tindakan sebegini akan hanya dibuat berdasarkan persepsi atau andaian guru sahaja, bukannya berdasarkan maklumat sebenar. Hal ini boleh menyebabkan tindakan yang diambil nanti tidak memberikan impak yang besar dan kadangkala berkemungkinan memberi kesan yang negatif kepada guru dan murid. Oleh itu, tinjauan awal melalui pengumpulan data atau maklumat secara tepat pada peringkat  permulaan  adalah penting bagi membolehkan guru mengenalpasti punca sebenar berlakunya masalah tersebut. Pengumpulan data ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti melalui ujian, soal selidik, temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen.



Setelah mengenalpasti punca masalah yang dihadapi murid melalui tinjauan awal, guru perlu merancang tindakan intervensi bagi mengatasinya. Perancangan tindakan ini memerlukan kreativiti guru. Antara tindakan intervensi yang boleh dilakukan adalah seperti mencari kaedah dan strategi pdp yang lebih berkesan, menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk digunapakai, menggunakan kaedah visual atau maujud untuk menerangkan sesuatu konsep  dan sebagainya ke arah menangani masalah tersebut.


Seterusnya, guru harus melakukan tindakan melalui perancangan yang telah dibuat. Laksanakan segala tindakan yang perlu bagi mengatasi masalah yang dihadapi sama ada oleh murid mahupun guru. Kemudian guru perlu pula memerhati dan memantau sama ada tindakan itu berkesan atau tidak serta sejauhmana ia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Untuk ini, guru perlu sekali lagi mengumpul data sama ada melalui ujian atau cara-cara yang telah dinyatakan di atas tadi. Data yang diperolehi perlu dianalisis bagi membolehkan guru melakukan semula refleksi berkaitan kekuatan dan kelemahan tindakan yang diambil, keberkesanan tindakan tersebut serta tindakan susulan yang perlu dilakukan. Proses ini akan berterusan dalam kitaran kajian.

Untuk pembacaan yang lebih lengkap, sila krmbali kepada entri yang sebelum ini. Baca di sini dan di sini. Dalam entri yang akan datang, kenali model-model Kajian Tindakan yang dipelopori oleh penyelidik Kajian Tindakan yang tersohor.


No comments:

Post a Comment