Sila klik

Monday 29 December 2014

GURU SEBAGAI PENYELIDIK


Salam.
Dalam entri yang lepas, telah dijelaskan secara sepintas lalu sejarah perkembangan Kajian Tindakan yang telah dipelopori oleh nama besar seperti John Dewey, Kurt Lewin dan Steven Corey. Juga telah dihurai tentang definisi Kajian Tindakan oleh beberapa orang pengkaji dan penyelidik akademik.


Di Malaysia pula, Kajian Tindakan mula diperkenalkan kepada guru melalui program PIER (Project Innovation, Excellence and Research) [baca di sini] yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1993. Pihak kementerian pada masa itu telah berusaha untuk menggalakkan budaya menyelidik di kalangan guru sekolah.

Sehingga kini, kedudukan Kajian Tindakan dalam pendidikan amat jelas. Semenjak Lewin memperkenalkan idea Kajian Tindakan, genre ini telah berkembang dan berubah. Kajian Tindakan dilihat sebagai penyelidikan yang berfungsi sebagai satu pelengkap (complementry) dan boleh bergabung dengan kaedah inkuiri yang lain. Dengan kata lain Kajian Tindakan dan idea guru sebagai penyelidik merupakan idea memperkenalkan cara untuk memperbaiki pendidikan melalui pemberian kuasa kepada guru dengan melibatkan mereka dalam pembentukan kurikulum.

Jelasnya, Kajian Tindakan merupakan salah satu pendekatan pengajaran dalam kelas mempunyai beberapa kebaikan, antaranya:

  1. Membantu guru berhubung dengan penambaikkan kebiasaan atau budaya pengajaran dalam kelas.
  2. Menyediakan ruang kepada guru untuk mengilap kreativiti dan inovasi terutama dalam menyelesaikan permasalahan dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid.
  3. Membantu guru untuk memperkembangkan professionalisme melalui proses penemuan kendiri.
  4. Oleh sebab guru mempunyai autoriti dalam kelas masing-masing maka Kajian Tindakan akan membantu mereka untuk mencuba pendekatan-pendekatan pengajaran yang difikirkan sesuai dan dapat membantu pembelajaran murid.
  5. Penggunaan kaedah baru dalam pengajaran membolehkan guru mengubahsuai amalan pengajaran. Ini seterusnya akan meletakkan guru tersebut dalam satu perubahan budaya lama dan seterusnya perubahan sikap. Penting untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti.
  6. Jika dilakukan secara berpasukan Kajian Tindakan dapat memupuk semangat kekitaan dan pemufakatan di kalangan guru-guru. Selain daripada wujudnya perkongsian idea, sebarang masalah semasa pelaksanaan kajian juga dapat diselesaikan bersama-sama.
Amat jelaslah bahawa Kajian Tindakan membawa beberapa kepentingan kepada guru-guru di sekolah kerana guru memainkan peranan sebagai penyelidik yang mengkaji proses pengajaran dan pembelajaran di kelasnya yang bertujuan untuk:

  • meningkatkan keberkesanan pengajaran guru
  • meningkat prestasi pembelajaran murid
  • mengatasi masalah pembelajaran dalam menguasai kemahiran dalam sesuatu subjek
Dalam entri yang selanjutnya, akan diterokai model-model Kajian Tindakan yang menjadi ikutan penyelidik tindakan.



No comments:

Post a Comment