Sila klik

Monday 22 December 2014

JOHN DEWEY - Pelopor Kajian Tindakan

Salam
Bila kita membicara tentang Kajian Tindakan maka terlintas di fikiran kita nama-nama besar yang telah menyumbang kepada perkembangan Kajian Tindakan sehingga kini. Antaranya John Dewey, Kurt Lewin dan Steven Corey di samping beberapa nama yang akan disebut dalam entri yang akan datang.


Konsep Kajian Tindakan telah dipelopori oleh John Dewey di Amerika Syarikat pada tahun 1920an, tetapi tidak mendapat sambutan sehinggalah selepas perang dunia kedua. Sekitar tahun 1946, Kurt Lewin seorang ahli psikologi sosial, bertindak menggunakan pendekatan Kajian Tindakan dalam usaha menyelesaaikan masalah hubungan dalam komuniti setempat, prasangka kaum dan pembangunan semula soaial akibat perang. Perkembangan pelaksanaan penyelidikan tindakan dalam bidang pendidikan pula telah dipelopori oleh Steven Corey dari Kolej Guru, Universiti Columbia, Amerika Syarikat pada tahun 1953 apabila beliau menggunakan Kajian Tindakan sebagai pendekatan dalam projek penyelidikan guru-guru di sekolah. Kajian Tindakan ketika itu telah didefinisikan sebagai proses penyelidikan amalan kendiri bagi menyelesaikan masalah dalaman guru.

Jadi apakah definisi Kajian Tindakan dalam amalan di sekolah? Merupakan satu usaha di bilik darjah yang bersifat cuba jaya dan berterusan. Usaha sama (Pentadbir sekolah, guru atau pelajar) membuat intervensi dan langkah-langkah pembaikan dalam usaha mendapatkan anjakan cara berfikir dan kesedaran yang baru. Usaha ini dilaksanakan dalam apa-apa jua keadaan dengan tujuan memperbaiki amalan kerja, menambah kefahaman baru dan meningkatkan profesionalisme dalam profession keguruan.

Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang Kajian Tindakan:



  • Kemmis & McTaggart (1988)
Kajian Tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif, dilakukan oleh peserta yang berada dalam sesuatu situasi sosial bertujuan meningkatkan kerasionalan dan keadilan amalan-amalan kemasyarakatan dan pendidikan mereka sendiri, di samping meningkatka kefahaman mereka tentang amalan-amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan.
  • Ebbut (1985)
Kajian Tindakan merupakan suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut. 
  • McNiff (1988) 
Kajian Tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ia melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.  
  • Somekh (1989) 
Kajian Tindakan ialah  satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan peserta dalam situasi sosial itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.


    • Cochran-Smith dan Lytle (1990) 
    Kajian Tindakan merupakan kajian bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi membolehkan mereka meneroka isu-isu yang mereka sukai. Ia juga menyediakan satu kaedah yang formal bagi menjadikan pengetahuan guru sebagai  sebahagian daripada  sumber maklumat  dalam pengajaran serta mendekatkan guru dalam struktur kuasa dalam pendidikan. 
    • Kember dan Gow (1992)
    Kajian Tindakan melibatkan pengamal (guru) untuk mencuba membaiki pengajaran mereka melalui kitaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.

    Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang istilah serta isu-isu dalam Kajian Tindakan, namun kebanyakannya bersetuju bahawa Kajian Tindakan adalah satu inkuiri yang dilakukan di sesebuah organisasi atau komuniti. Ia merupakan satu proses reflektif yang dijalankan secara bertujuan dan sistematik oleh individu atau kumpulan. Kesimpulannya, Kajian Tindakan merupakan satu bidang penyelidikan berbentuk renungan kendiri.




    No comments:

    Post a Comment