Sila klik

Sunday 12 April 2015

Kopi Luwak - campuran kopi dan najis musang.



Kopi Luwak, Minuman Eksotik, Najis Musang,

Masih ingat lagi  tentang posting saya yang terdahulu tentang kopi. Kalau dah lupa-lupa ingat,  sila baca di sini dan di sini sebelum kita meneruskan agenda kopi seterusnya. Seolah-olah dah ketagih bila bercakap tentang kopi seperti ketagihan menghirup kopi pada awal pagi. Kali ini saya  melanjutkan perbincangan tentang misteri kopi yang termahal di dunia. Mungkin rasanya kaw-kaw dan khasiatnya terlalu tinggi menyebabkan harga kopi ini sampai mencecah RM5000 sekilo di Malaysia. Kalau berhasrat hendak merasakan secawan kopi misteri ini, harus bersedia membayar RM300 itu pun agak susah mendapatkannya di negara kita.

Itulah misteri Kopi Luwak (bermaksud musang). Ia terutamanya dihasilkan di Kepulauan Sumatera, Jawa, Bali dan Sulawesi di Indonesia. Ia juga terdapat di Filipina, Timor Leste dan Vietnam. Penghasilan kopi ini agak rendah dan jauh dari memenuhi permintaan. Kopi Luwak (luak) diproses dari biji kopi yang telah dimakan musang spesis paradoxurus hermaphroditus, dikutip dan dikumpulkan selepas melalui proses penghadaman melalui keluaran najis musang.
Kopi Luwak, Timor Leste, Filipina, Vietnam, Sepesis Musang,
Luwak atau musang spesis paradoxurus hermaphroditus
Majlis Fatwa, Halal, Ketagih, Muzakarah,
Gumpalan najis luwak bersama biji kopi
Haiwan ini, luwak atau musang memain dua peranan penting dalam menghasilkan kopi yang paling mahal di dunia ini. Pertama, dipercayai dengan kepakarannya memilih biji-biji kopi yang terbaik untuk dimakan dan yang kedua sistem penghadamannya memperoses secara semujadi biji kopi yang ditelan. Semasa proses penghadaman, enzim-enzim mula meresap dan menstabilkan kandungan kimia serta mencernakan protein pada biji-biji kopi. Campuran najis luwak dan biji-biji kopi inilah yang akan melalui proses penjemuran dan pembakaran.

Menurut seorang pengusaha Kopi Luwak di Sumatera, kopi ini di ada kelasnya yang tersendiri. Diumpamakan setaraf Rolls-Royce dalam segmen kereta, atau Vacheron Constantin dalam segmen jam tangan. Begitu berprestijnya, Kopi Luwak dan sesiapa saja penggemar kopi ini bukan calang-calang orang. Kalau poket tak tebal jangan cuba, kalau sekali bolehlah tapi kalau sudah ketagih...manyak susah. Sendiri tanggung ma...

Bagaimana pulak tentang halal haramnya? Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke 98 telah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak adalah bersifat matanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat: 

  1. biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam
  2. biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

        sila rujuk Portal Rasmi Fatwa Malaysia di sini


Soalnya sekarang, adakah anda dan saya bersedia mengeluarkan sejumlah wang yang banyak semata-mata hendak menikmati secawan kopi. Kopi yang didakwa beraroma tinggi dan mempunyai khasiat yang tidak ternilai adalah sama dengan kopi-kopi lain yang mengandungi kafein. Satu persoalan lagi, berupayakah pihak yang berwajib memantau kemasukan Kopi Luwak yang memenuhi syarat-syarat yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsan Malaysia.

Tergamakkah kita menghirup Kopi Luwak?