Sila klik

Wednesday 25 March 2015

i-THINK - Cara Hebat Belajar.

Salam.
Program iTHINK yang sedang dilaksanakan untuk semua sekolah di seluruh negara adalah hasil dari lawatan tinjauan di 'Thinking Schools' di United Kingdom. Terbukti bahawa guru-guru yang menggunakan peralatan pemikiran telah berjaya mencapai perkara berikut: 
  • Membangunkan pengetahuan dan kemahiran berfikir murid-murid.
  • Mengubah peranan guru dari penyampai maklumat kepada fasilitator yang membimbing murid-murid belajar.
  • Murid-murid sangat terlibat dalam pembelajaran.
  • Mereka dapat menguatkan keyakinan diri dan kreaviti.
  • Murid-murid mempunyai kemahiran berfikir tahap tinggi.

Program iTHINK memperkenlkan peralatan pemikiran bagi membantu pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan pelajar generasi baru yang memiliki kemahiran berfikir kritikal, kreatif dan analitikal bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global. Program yang akan diperluaskan ke seluruh negara menggunakan pendekatan berikut:
  1. Tidak memerlukan kos tambahan atau infrastruktur yang besar.
  2. Menggunakan alatan pengajaran yang sedia ada.
  3. Guru-guru diberi latihan khusus.
  4. Ia tidak membebankan para pengajar.

Penggunaan Proses Pemikiran juga membantu guru dan pelajar bekerja dengan lebih pintar bagi meningkatkan komunikasi antara mereka, mengubah proses pengajaran daripada sistem yang berpusatkan guru kepada sistem yang berpusatkan murid. 

Program iTHINK membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesai masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian secara kireatif di kalangan murid sekolah. 

Tuesday 24 March 2015

Program i-THINK

Salam.
Pencapaian Malaysia dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) tahun 2007 adalah pada kedudukan 20 bagi Matematik dan 21 bagi Sains dalam kalangan 49 negara. Manakala laporan Program for International Student Assessment (PISA) tahun 2009 menunjukkan prestasi Malaysia berada dalam kedudukan 57 bagi Matematik, 55 bagi Sains dan 52 bagi Kefahaman dalam kalangan 74 negara. Dapatan ini dikukuhkan lagi dengan laporan kajian keperluan oleh Perunding Kestrel Education (UK) dan 21 Centruy Schools (USA) yang dibentangkan pada 2 November 2011 mendapati bahawa pemikiran aras tinggi dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah.


Bertitik-tolak dari keadaan itu, pada 27 Julai 2011 Mesyuarat di antara Agensi Inovasi Malaysia  dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah bersetuju melaksanakan program i-THINK dengan merintis 10 buah sekolah di Malaysia. Program ini akan dipeluaskan kepada 1,000 sekolah pada tahun 2013 dan seterusnya semua sekolah akan melaksanakan program ini pada 2014.

Program i-THINK merupakan satu program yang bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif. Guru dan murid akan menggunakan alat berfikir di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) disamping melaksanakan aktiviti kemahiran aras tinggi.

Melalui Program i-THINK, 8 PETA PEMIKIRAN yang diperkenalkan dengan tujuan dan objektif yang berbeza di samping proses pemikiran masing-masing dapat diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas mengikut topik yang bersesuaian dengan Peta Pemikiran yang dipilih.










Thursday 19 March 2015

PROSES MELAKSANAKAN KAJIAN TINDAKAN

Salam.
Walaupun, Lewin (1946; 1948) merupakan orang pertama yang mewujudkan satu kodifikasi (codification) tentang prosedur menjalankan Kajian Tindakan. Beliau menyarankan prosedur itu dijalankan dalam 4 peringkat utama, iaitu:
  • Membina rancangan tindakan
  • Melaksana tindakan
  • Memerhati kesan pelaksanaan tindakan
  • Mereflek

Menurut Lewin (1946; 1948), Kajian Tindakan bermula dengan pewujudan satu idea umum dan kemudian data dipungut untuk menjelaskan atau merungkai sesuatu situasi. Dengan ini, satu pelan tindakan dapat dihasilkan untuk mencapai objektif yang dikenal pasti bersama dengan keputusan tentang langkah-langkah pertama yang perlu dijalankan. Peringkat seterusnya melibatkan pungutan fakta-fakta untuk memantau dan menilai intervensi itu, iaitu bertindak sebagai penilaian formatif. 


1. Membina Rancangan Tindakan
Setelah mendapat idea awal untuk memulakan langkah Kajian Tindakan, penyelidik (guru) perlu membina rancangan untuk bertindak ke arah penambahbaikan. Sebagai permulaan, penyelidik perlu menilai situasi sedia ada bagi mendapatkan maklumat yang akan membantunya merancang tindakan yang bakal diambil. Contohnya, apabila hampir separuh daripada sekumpulan gagal dalam ujian topikal yang ditadbir, maklumat terperinci diperlukan tentang soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kumpulan pelajar berkenaan. Maklumat ini dapat diketahui dengan merujuk kepada isi kandungan yang gagal difahami oleh pelajar sehinggakan tidak dapat menjawab soalan yang berkaitan dengan topik berkenaan dalam ujiian topikal. Kemudian berdasarkan maklumat yang terkumpul, penyelidik boleh membentuk soalan penyelidikan:
  • Apakah aspek-aspek yang belum difahami oleh pelajar tentang topik yang diajar?
  • Apakah kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dalam memahami aspek-aspek tertentu?
  • Bolehkah aspek ini diatasi dengan mengajar semula topik tersebut dengan kaedah pembelajaran masteri?

Setelah soalan-soalan penyelidikan dibentuk, penyelidik perlu membina suatu kerangka penyelidikan. Bagi kelas yang terlibat, beberapa ujian diagnostik perlu dibina bagi mengesan kelemahan pelajar, serta beberapa contoh yang lebih mudah digunakan dalam pengajaran semula. Kemudian, satu ujian setara dengan ujian topikal hendaklah dirangka bagi memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada pelajar dapat menjawab kesemua soalan yang dikemukakan.

2. Melaksana Tindakan
Setelah membina rancangan tindakan, tiba masanya bagi pelaksanaan. Penyelidik (guru) perlu menyemak kembali kertas jawapan pelajar bagi mengenal pasti soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kebanyakan mereka, diikuti oleh ujian diagnostik bagi mengesan kesukaran serta kekeliruan yang dihadapi oleh pelajar tentang topik yang diajar. Setelah itu, penyelidik akan mengajar semula topik berkenaan dengan memberi contoh-contoh yang lebih mudah difahami oleh pelajar serta disertai dengan latihan dan bimbingan bagi setiap pelajar secara individu.


3. Memerhati Kesan Pelaksanaan Tindakan
Semasa tindakan sedang diambil, penyelidik akan mula mengesan perubahan  dalam kalangan pelajar terbabit, jika ada. Tindak balas yang diberikan oleh pelajar semasa pengajaran semula yang memberi fokus terhadap aspek-aspek yang sukar difahami akan memberi maklum balas kepada penyelidik. Akhir sekali, keputusan ujian setara tentang topik yang diajar akan memberi maklum balas sama ada tindakan yang dilaksanakan berjaya mengurangkan bilangan pelajar yang gagal kepada hanya 20% daripada keseluruhan pelajar.

4. Mereflek
Kesan yang berlaku dalam sesuatu penyelidikan walaupun positif masih boleh dipertingkatkan lagi. Hal ini dapat dilakukan melalui refleksi yang dapat membantu penyelidik mengenal pasti kelemahan dalam ujian diagnostik yang tidak dapat mengesan kelemahan tertentu dalam kalangan pelajar. Di samping itu, pelajar mungkin gagal menjawab aspek-aspek lain dalam ujian setara, berikutan kefahaman pelajar yang tidak kekal untuk tempoh masa panjang. Secara amnya, penyelidik perlu mencari idea untuk mengatasi masalah retention kefahaman pula, dan ini akan menjurus kepada satu lagi pusingan penyelidikan baru yang perlu dirancang untuk tindakan seterusnya.