Sila klik

Wednesday 30 January 2013

BUAH MARKISAH - WORDLESS WEDNESDAY (WW)

Salam.
Setiap hari Rabu, semua blogger membuat satu entri bergambar tanpa meletakkan apa-apa keterangan. Terpulang kepada pengunjung untuk membuat satu persepsi sendiri. Bak kata bro HASRUL HASSAN (HH), "Gambar yang hebat boleh menerangkan segalanya."





Tuesday 29 January 2013

Cerita Sedih Di Sebalik RM100

Salam.
Banyak cerita yang kita dengar dan baca tentang Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100. Kebanyakannya cerita gembira dan kesyukuran ibu bapa. Ramai yang mampu menghela nafas lega. Apa tidaknya, setelah berhabis duit menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak untuk sesi persekolahan yang bermula pada 2 Januari lepas. Paling tidak pun habis juga ratusan ringgit untuk pakaian sekolah, alatulis, buku rujukan dan seribu satu macam keperluan. Itu sorang, bayangkanlah kalau ada 4 atau 5 orang anak yang masih bersekolah. Lari juga bajet sebelum menunggu hari gaji pada hujung bulan.

Kebanyakan ibu bapa tersenyum lebar menerima RM100 untuk anak masing-masing, ada yang membawa pulang sehingga RM500, apa tidaknya kalau ada 5 orang anak yang bersekolah. Di tengah-tengah keriangan ibu bapa yang menuntut wang RM100 untuk anak-anak, penulis didatangi seorang ibu muda yang bersedu-sedan dengan linangan airmata. Tersentuh juga penulis. Lalu diceritakan tentang kes linangan airmata tadi.


Rupa-rupanya wanita muda tadi telah diceraikan suami tanpa sebarang nafkah. Apabila hendak menuntut wang RM100, rupa-rupanya wang tersebut telah diambil awal-awal oleh bekas suaminya. Menurut sumber, ibu muda tersebut merupakan suri rumah sepenuh masa yang terpaksa menyara diri dan 2 orang anaknya. Wang RM100 itulah harapan yang ada untuk membiayai persekolahan anak. Mungkin ada yang menganggap, bahawa linangan airmata tersebut sengaja diada-adakan. Namun penulis faham. Bagi setengah orang, apa sangatlah RM100, tapi bagi si ibu muda, nilainya amat besar. 

Kes-kes begini memang sering berlaku, selalunya si ibu 'tinggal' yang sering jadi mangsa. Insyallah, penulis akan mencari jalan bagaimana si ibu muda tadi mendapat haknya.

Friday 25 January 2013

Tahniah Pasukan Kawad Beruniform Sekolah.

Salam.
Syabas dan tahniah kepada Pergerakan Pengakap Sekolah kerana berjaya merangkul gelaran Naib Johan dalam Pertandingan Kawad Beruniform Sekolah peringkat daerah Sri Aman. Pertandingan yang dianjurkan oleh Batalion Ke 13, Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD), sempena dengan Karnival Sri Aman 2013, menyaksikan 7 buah sekolah rendah mengambil bahagian.


Puteri-puteri SK Abang Aing menunggukeputusan penuh debaran,

Penyokong tegar bersama jurulatih. 

Keletihan agaknya setelah mempersembahan kawad yang menarik.
Dalam pertandingan tersebut, SJK Chung Hua Simanggang dinobatkan sebagai Johan apabila melakukan kawad formasi yang memukau juri-juri pertandingan. SK Abang Aing yang mempertaruhkan Kumpulan Pengakap berjaya sebagai Naib Johan, sementara SK St Lawrance mendapat tempat ketiga. Pertandingan dilangsungkan di Kompleks Sukan Sri Aman.

- kredit kepada Puan Rafeah Ahmad kerana gambar-gambar



Thursday 24 January 2013

Karnival Sri Aman 2013




Salam.
Sempena dengan 43 tahun penubuhannya dan 15 tahun penempatan di Sri Aman, Batalion Ke 13, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) akan menganjurkan Karnival Sri Aman 2013. Karnival akan berlangsung dari 25 Januari hingga 27 Januari 2013. Karnival yang bertemakan "Tentera Mendokong Aspirasi Rakyat", merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat demi kesejahteraan dan pembangunan negara.

Penganjuran yang julung-julung kali diadakan adalah usaha Batalion Ke 13, RAMD untuk menyahut seruan kerajaan bagi menyemarakkan muhibah dan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk selaras dengam pembentukan Gagasan 1Malaysia. Di samping sebagai nilai-tambah produk pelancongan, adalah diharapkan agar Sri Aman lebih dikenali oleh masyarakat luar.

Karnival yang akan berlangsung selama 3 hari bermula pada 25 Januari 2013 menyediakan berbagai aktiviti untuk pengunjung. Antaranya ialah:
  • Kawad dan Pameran Ketenteraan
                           
    Di samping Kawad Pasukan, juga akan diperlihatkan  Kawad Pasukan Beruniform Sekolah.
  • Pameran Korporat dan Gerai Niaga
Pelbagai gerai jualan akan disediakan di tapak karnival.
  • Pertandingan dan Sukan Rakyat
    Pertandingan Futsal, Tarik Tali dan Paintball akan diadakan.
  • Konsert dari Artis Terkenal.
    Ali XPDC, Adi MENTOR, Adrewson Ngalai dan Sima CAT FM

Datanglah beramai-ramai ke Kompleks Sukan Sri Aman untuk memeriahkan Karnival Sri Aman 2013. Datang jangan seorang, datanglah beramai-ramai bawa sahabat handai dan sanak saudara. Eratkan tali silatulrahim di tapak karnival sambil mempromosikan Bandar Sri Aman sebagai destinasi pelancongan.


Entri berkaitan:

Tuesday 22 January 2013

Sambutan Maulidur Rasul

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Salam.
Menjelang 12 Rabiu'awwal setiap tahun, sudah menjadi satu kemestian bagi umat Islam mengadakan sambutan Maulid (kelahiran) Rasulullah SAW. Majlis berzanji dan bacaan rawi akan berkumandang di segenap pelusuk kampung, sementara di bandar pula, umumnya akan diadakan sambutan secara besar-besaran dengan menganjurkan perarakan, perhimpunan dan ceramah perdana. Pastinya sesuatu yang cukup bermakna bila memperingati satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia.

Majlis Berzanji  - Sumber ZAIDIRAZALI.COM
Kedatangan Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung dari Allah SWT kepada alam semesta ini. Manusia pada ketika itu berada di dalam kekufuran, kesesatan dan kesyirikan. Penyembahan berhala merupakan satu penghormatan, penzinaan adalah satu kebanggaan, mabuk dan judi berleluasa, merompak dan membunuh diiktiraf sebagai keberanian. Pendek kata, zaman pada ketika itu diselubungi kegelapan. Allah SWT telah mengutus seorang Rasul untuk menghentikan semua kemungkaran dan membawa cahaya Illahi.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul, marilah kita sama-sama menghayati keperibadian mulia junjungan kita Rasulullah SAW. Sekaligus kita mencontohi kesungguhan dan ketabahan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam. Di sebalik sifat kesungguhan dan ketabahan Rasulullah SAW sebagai pemimpin agung, baginda menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan. Pernah diriwayat oleh Aisyah, Rasulullah SAW berkata kepadaku: 
Sesungguhnya Allah menawarkan kepadaku dataran Mekkah untuk dijadikan emas dan diberikan kepadaku, maka aku menolaknya, lalu aku berkata : Aku tidak berharapkan itu semuanya Ya Allah, akan tetapi aku lebih senang sehari lapar dan sehari kenyang. Tatkala hari yang aku merasakan lapar, aku merendah diri dan berdoa kepada-Mu, sementara tatkala hari yang aku merasakan kenyang, aku bersyukur dan memuji-Mu.
Marilah kita mengambil ikhtibar dari kesederhanaan baginda Rasulullah SAW sempena dengan tema Perayaan Maulidur Rasul tahun ini iaitu, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. 




Thursday 10 January 2013

4 Inisiatif PPPM Dalam 100 Hari Pertama 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(2013 - 2025)

Salam.
Siang tadi ketika, menyampaikan perutusan tahun baru Kementerian Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian beliau akan memberi tumpuan utama kepada 4 inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini. 

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan program School Improvement Partners (SI Partners) Plus and School Improvement Specialist Coaches (SISC) plus di Kedah dan Sabah. dalam usaha membimbing guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik terutamanya di sekolah-sekolah yang berada dalam Band 5, 6 dan 7.

Inisiatif kedua pula, menilai 700,000 guru opsyen Bahasa Inggeris melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dan kumpulan guru akan dikategori kepada 3 berdasarkan kepada keputusan ujian mereka. Bagi kumpulan guru-guru yang tidak mencapai tahap kemahiran yang ditetapkan latihan sepenuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari pertama tahun 2013, kementerian bersedia melatih 5,000 orang guru.

Sambil menyifatkan awal tahun 2013 sebagai tempoh yang kritikal, beliau menegaskan Inisiatif Sarana Ibubapa ke 10,000 sekolah merupakan inisiatif yang ketiga. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan kerjasama di kalangan ibubapa.

Sementara inisiatif keempat pula ialah melancarkan video e-Guru untuk ditonton di semua sekolah. Program tersebut akan diperkenalkan pada bulan ini melalui program pembangunan professional baru dengan mewujudkan perpustakaan video e-Guru yang menyediakan koleksi contoh pengajaran terbaik.

Tan Sri Muhiyiddin Yassin berkata, di samping 4 inisiatif itu, kementerian tidak akan mengenepikan inisiatif-inisiatif lain di dalam PPPM. Antaranya ialah High Order Thinking Skill (HOTS) atau kemahiran berfikiran aras tinggi di kalangan murid-murid. Dua puluh (20) peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah soalan aras pemikiran tinggi. 


Entri lain yang berkaitan:
  1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
  2. LINUS 2.0 - Bantu Murid Kuasai Bahasa Inggeris
  3. Mentransformasi Sistem Pendidikan Malaysia Di Bawah GTP 2.0 (2013-2015)
  4. Garis Panduan Prasekolah dan TADIKA